Waspada ajaran sesat NII AL Zaytun dari seberang

Juni 20, 2005 at 12:17 am 1 komentar

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_04.htm

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

TAKRIF ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada Islam yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta bertentangan juga dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah.

Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), halaman 45, “orang-orang yang sesat ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama yang betul kerana dipelajari dengan tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya.”

Utusan Malaysia kelmarin membongkar sebuah gerakan ajaran sesat yang bermatlamat mewujudkan negara Islam. Gerakan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan sebuah pondok pengajian agama atau pesantren terkenal di Indonesia. Pergerakan ini dikesan bergerak aktif di Malaysia dengan berselindung di sebalik kelas pengajian al-Quran.

Berita jam 8 malam TV3 bertarikh 23 April 2002 menyebut sebuah Pesantren yang bernama Al-Zaytun telah dikaitkan dengan ajaran sesat.

Menurut laporan majalah Media Dakwah terbitan PT Media Utama (Jakarta) dalam beberapa siri keluarannya, ia pernah membincangkan tentang kesesatan Mahad Al-Zaytun. Memetik laporan Media Dakwah Oktober 2001, ia telah membongkar kesesatan NII (Negara Islam Indonesia) Mahad Al-Zaytun setelah melakukan kajian sehari di Masjid Babus Salam Klinder, Jakarta Timur, pada 7 Jamadil Akhir di depan 300 orang jemaah dari pelbagai pelosok penjuru Jakarta. Penelitian dan pembongkaran ini dibuat berasaskan kepada fakta-fakta konkrit yang dikaitkan dengan ajaran Islam yang murni.

Pesantren Al-Zaytun kini mendapat sorotan pelbagai pihak khususnya ulama-ulama dari Indonesia. Sedikit sebanyak ia telah menimbulkan keresahan umat di Malaysia kerana dikatakan terdapat pelajar dari Malaysia yang menuntut di Mahad ini. Dalam keluaran terbaru Majalah Media Dakwah keluaran April 2002, ia membongkar satu cerita di mana sebagai mengingati 1 Muharam, satu majlis tarian yang menampilkan perempuan berpakaian ketat telah diadakan di Pesantren Al-Zaytun.

Dalam konteks Malaysia, sebarang bentuk ajaran `yang lain daripada amalan biasa’ yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat perlu dilihat oleh Jakim sebagai sesuatu yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat. Sebenarnya banyak lagi contoh aliran sesat di Indonesia yang telah dibongkar oleh Majalah Media Dakwah. Namun hakikatnya, adakah pembongkaran ini bertujuan untuk memburuk-burukkan nama Pesantren Al-Zaytun yang dikatakan begitu unggul dan maju atau ia mempunyai agenda-agenda yang tersembunyi di sebalik pembongkaran itu?

Di samping itu, terdapat juga ajaran-ajaran sesat yang masih aktif di Indonesia dan mempunyai pengikut-pengikutnya yang ramai. Antaranya Gerakan Ahmadiyah dan yang terbaru ialah Lembaga Dakwah Indonesia (LDI) iaitu nama baru dari sebuah aliran sesat yang terbesar di Indonesia yang sering berganti nama bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pemerintah Indonesia.

Demikian juga dengan fahaman sesat Engkar Sunnah. Fahaman sesat ini muncul di Indonesia sekitar tahun 1980-an. Mereka menamakan pengajian yang diadakan itu dengan sebutan Kelompok Qurani (Lihat Media Dakwah, September 2001, ms. 33). Begitu juga dengan gerakan syiah yang luar biasa aktifnya di Indonesia. Mereka juga mempunyai beberapa percetakan besar serta moden bagi menerbitkan buku-buku syiah. Antaranya Percetakan Mizan Bandung, Pustaka Hidayah Bandung, Penerbit Lentra Hati Jakarta, Penerbit Rusda Karya Bandung dan Penerbit Publika, Jakarta.

Penulis banyak menemui buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit ini di toko-toko buku sekitar Kuala Lumpur. Demikian jugalah dengan NII Mahad Al-Zaytun yang disenaraihitamkan, ia menyimpang daripada syariat Islam (Lihat Media Dakwah, Oktober 2001, ms. 33-35).

Menurut majalah itu lagi, aliran-aliran sesat ini biasanya memiliki sikap yang ekstrem. Sebagai contoh katanya, NII Mahad Al-Zaytun telah mengkafirkan Muslim seluruh Indonesia yang tidak mahu masuk ke dalam kumpulan mereka, yang lain semuanya akan masuk neraka.

Bahaya ajaran sesat dalam konteks negara Malaysia jika ia tidak dibanteras akan menghancurkan seluruh umat. Setakat ini, terdapat 24 ajaran sesat yang masih aktif di Malaysia. Ini diakui sendiri oleh Jakim. Kita tidak mengetahui sejauh manakah bahayanya 24 ajaran sesat yang masih aktif di Malaysia? Dalam hal ini, sangat wajar pihak Jakim membuat satu keputusan dan penelitian khususnya dari aspek kandungan ajaran sesat itu dan jika ternyata menyalahi prinsip syariat, maka wajar ia diharamkan. Apa yang diharapkan agar 24 ajaran sesat yang masih aktif itu tidak ada sangkut-paut dengan ajaran sesat di Indonesia.

Gerakan-gerakan ajaran sesat ini dikatakan menggunakan Internet untuk menyebarkan ajaran-ajarannya. Umat Islam wajib bertanggungjawab membanterasnya sehinggalah mereka kembali kepada Islam, sesuai dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Ajaran sesat perlu ditumpas secara bersungguh-sungguh melalui sebarang penguatkuasaan undang-undang. Ajaran sesat bukan sahaja menyeleweng daripada akidah dan amalan Islam kepada pengikut-pengikutnya, bahkan membawa tindakan yang bertentangan dengan undang-undang negeri, juga di luar perikemanusiaan dan akal.

Risiko kelewatan bertindak ke atas ajaran-ajaran sesat seumpama ini boleh mengakibatkan tercetusnya angkara-angkara buruk. Seperti mana kita menyambut baik cadangan hukuman rotan ke atas sumbang mahram, maka hukuman yang sama juga perlu dilaksanakan ke atas ketua ajaran sesat itu.

Pengalaman dan peristiwa pahit yang berlaku di negara kita seperti gerakan pelampau Al-Ma’unah di Sauk, Perak jelas menunjukkan sebahagian daripada ajaran sesat itu telah menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. Tidak dapat dinafikan juga sebahagian daripada ajaran sesat itu memperlihatkan sikap anti kerajaan dan menimbulkan kekeliruan dan permusuhan di kalangan masyarakat.

Oleh sebab ajaran sesat itu melibatkan akidah, maka amat wajar kerajaan mengkaji tentang sejarah pendidikan Islam yang diterima oleh umat Islam di negara ini. Perlu ada penyemakan semula kurikulum pendidikan Islam yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan. Persoalan yang timbul, apakah mata pelajaran Pendidikan Islam yang diajarkan itu berupaya menanam akidah yang mantap di kalangan para pelajar sehingga mereka berupaya menolak pengaruh ajaran sesat semasa di bangku sekolah atau apabila mereka dewasa kelak.

Apa yang perlu, langkah-langkah yang agresif haruslah dilakukan sehingga ke akar umbi agar akidah umat Islam terselamat. Pengeluaran fatwa perlulah dibuat dengan segera, menapis dan memastikan guru-guru agama atau pendakwah-pendakwah bukan warganegara yang ingin masuk ke negara ini.

Kerajaan hendaklah sentiasa peka dan berwaspada terhadap anasir negatif ini dengan meningkatkan pengawalan terhadap bahan-bahan bacaan dan percetakan serta media elektronik. Kajian demi kajian perlu dibuat dan dakwah kepada seluruh masyarakat Islam harus dipertingkatkan menerusi pelbagai cara demi membanteras segala bentuk penyelewengan akidah umat Islam.

Hindarilah daripada terjerumus ke dalam kancah yang menyesatkan itu. Jika sebelum ini kita terikut-ikut dengan mana-mana fahaman yang mengelirukan dan menyeleweng daripada dasar al-Quran dan al-Sunnah, sebab kita kurang pengetahuan, maka eloklah kita berpegang kepada sumber yang asal seperti yang dipesan oleh baginda s.a.w.

Dengan ini kita dan keluarga kita akan terselamat daripada terjatuh ke dalam kancah kekeliruan dan kesesatan. Dengan demikian, terselamatlah kita daripada kemurkaan Allah s.w.t.

Iklan

Entry filed under: Uncategorized.

Kerajaan tidak iktiraf pesantren NII AL Zaytun Pesantren NII AL Zaytun tempat pengajian 150 pelajar kita disiasat

1 Komentar Add your own

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Blog Stats

  • 563,778 hits
Juni 2005
S S R K J S M
« Mei   Jul »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

RSS Umpan yang Tidak Diketahui

  • Sebuah galat telah terjadi; umpan tersebut kemungkinan sedang anjlok. Coba lagi nanti.

RSS Umpan yang Tidak Diketahui

  • Sebuah galat telah terjadi; umpan tersebut kemungkinan sedang anjlok. Coba lagi nanti.

Flickr Photos


%d blogger menyukai ini: